Thursday, May 04, 2006



PENDAHULUAN

SEKSYEN 6 KOTA DAMANSARA adalah merupakan sebahagian daripada 4000 ekar pembangunan Kota Damansara yang terletak di kawasan Petaling Jaya Utara dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ). SEKSYEN 6 KOTA DAMANSARA berada didalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dibawah Kawasan Parlimen Subang.

SEKSYEN 6 KOTA DAMANSARA mula didiami pada Julai 1998 dimana sebahagian besar penghuni awal adalah mereka yang tinggal di rumah berangkai di Jalan Cecawi 6/4 –Jalan Cecawi 6/26A (Sektor B, C, D dan Sektor E). Setelah lebih tujuh tahun, sebahagian besar SEKSYEN 6 KOTA DAMANASARA telahpun didiami dan adalah dianggarkan sehingga kini penduduk SEKSYEN 6 telah meningkat keangka melebihi 20,000 orang.

Taburan pembangunan dan penduduk seperti di Jadual 1



KEMUDAHAN PRASARANA DAN REKREASI

SEKSYEN 6 dengan jumlah penghuni yang besar tentulah memerlukan kemudahan prasarana yang serba lengkap yang dapat menjamin keselesaan warganya. Antara kemudahan yang telah dan akan dibina dimasa akan datang adalah, Sekolah, surau padang rekreasi, tadika, dewan dan sebagainya.

Taburan kemudahan adalah seperti di Jadual 2.



Di samping itu juga kemudahan pengangkutan awam (bas) telahpun mula beroperasi sejak September 2000. Begitu juga dengan kemudahan telefon dan telefon awam telah dinikmati oleh hampir separuh dari kawasan yang telah dibuka.

Walaubagaimanapun dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk yang meningkat adalah wajar sekiranya kemudahan prasarana dan rekreasi yang lain dibangunkan dengan segera demi menampung keperluan penduduk setempat.

Antara kemudahan dan keperluan yang dicadangkan untuk dibina dan dibangunkan segera adalah seperti berikut :-

- Dewan Orang Ramai : Gugusan Tanjung & Lot Bungalow **

- Tadika : Setiap sebuah di Gugusan Palma dan Seroja

- Perhentian Bas : Tiga unit di Jalan Cecawi 6

  • Dua unit di Jalan Cecawi 6/19
  • Dua unit di Jalan Cecawi 6/2
  • Satu unit di Jalan Cecawi 6/18
- Permainan Kanak kanak : Dua unit dengan setiap seunit di Jalan Cecawi 6/14C & Jalan Cecawi 6/27

- Gazebo : Sepuluh unit dengan setiap unit di Jalan Cecawi 6/14C, Jalan Cecawi 6/27, Jalan Cecawi 6/24, Jalan Cecawi 6/1, Jalan Cecawi 6/4, Gugusan Cempaka, Gugusan Tanjung, Gugusan Seroja & Gugusan Teratai.

- Kompleks Gerai : Di rezab gerai Gugusan Cempaka & Seroja ,
& di kawasan lapang berhampiran Tanjung 7.

- Mercu Tanda SEKSYEN 6 : Cerun di antara Jalan Cecawi 6/9 dengan Pesiaran Surian

- Kemudahan Bas ke Stesen LRT : Jalan Cecawi 6/19
terdekat

- Pejabat Pos : Rumah Kedai Jalan Cecawi 6/19A **

- Pagar keselamatan : Memisahkan Persiaran Surian dengan Gugusan Cempaka, Tanjung dan Seroja & Persiaran Kenanga dengan Gugusan Seroja.


- Bonggol Jalan : Jalan dalaman Gugusan Cempaka dan Jalan Cecawi 6/19


NOTA :
** - penting dan perlu dilaksanakan segera


PERSATUAN PENDUDUK SEKSYEN 6 KOTA DAMANSARA

Selayang Pandang

Penubuhan persatuan pada mulanya adalah bertitik tolak dari kegusaran penduduk awal akan kejadian jenayah yang terlalu kerap berlaku dan membahayakan keselamatan penduduk. Bermula dengan pertemuan 15 orang penduduk terawal pada 15hb. September 1998 ; dan diikuti dengan penubuhan Jawatankuasa Sementara pada 8hb. Oktober 1998 bertempat di Padang Permainan Jalan Cecawi 6/13; jawatankuasa yang dipelopori oleh Tuan Haji Baharuddin Haji Harun, En Kamarulzaman Salleh , Ustaz Mohd Sekeri Mamat, En Alpadzul Abu Hassan , En Mohd Idrus Mohd Yusof dan beberapa orang lain terus berusaha keras menubuhkan sebuah persatuan induk untuk seluruh warga Seksyen 6 Kota Damansara berpayung.


Setelah segala persiapan dibuat akhirnya pada 15 Februari 1999 , suatu Mesyuarat bagi Penubuhan Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk Seksyen 6 Pusat Bandar Sungai Buloh (Kota Damansara) telah diadakan di tingkat bawah Gugusan Cempaka 1. Jawatankuasa Penaja tersebut yang diketuai oleh Dr. Ariffin Fii sebagai pengerusi; Timbalan Pengerusi En Idrus Mohd Yusof; Setiausaha En Alpadzul Abu Hassan telah giat berusaha sehingga akhirnya pada 17hb. Mei 1999 pendaftarannya diterima secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan untuk bergerak sebagai sebuah persatuan berdaftar bagi mewakili seluruh warga Seksyen 6 Kota Damansara.


Sejak itu tanpa menoleh kebelakang lagi persatuan terus aktif berperanan membantu penduduk; menjadi pengantara dengan pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah dan meningkatkkan kemudahan prasarana Seksyen 6 Kota Damansara.


Dengan menganjurkan aktiviti- aktiviti kemasyarakatan , kegiatan sukan, gotong royong dan sebagainya; persatuan penduduk telah berjaya menyatukan hampir seluruh warga Seksyen 6 Kota Damansara tanpa mengira pangkat, kelas, warna kulit pegangan politik dan kepercayaan yang dianuti.


Suatu yang menjadi kebanggaan warga Seksyen 6; dari yang mendiami pangsa kos rendah, apartment kos sederhana sehinggalah kepada yang mendiami rumah sesebuah telah bersama-sama bersatu hati menganjurkan aktiviti aktiviti yang menjurus kepada semangat kerjasama dan bertoleransi.



"JIRAN KITA KELUARGA KITA"







KEAHLIAN PERSATUAN PENDUDUK SEKSYEN 6.

Keahlian persatuan penduduk sebagaimana yang ditetapkan oleh fasal 4 Undang-Undang Tubuh Persatuan Penduduk Seksyen 6 Pusat Bandar Sungai Buloh adalah terbuka kepada seluruh warga Malaysia yang tinggal di Seksyen 6, Pusat Bandar Sungai Buloh (Kota Damansara) ; berumur 18 tahun keatas yang menyokong tujuan dan objektif penubuhan persatuan.

Oleh yang demikian, persatuan yang pada peringkat awalnya dipelopori oleh penghuni-penghuni rumah berangkai (teres) telah mendapat sambutan yang baik seluruh warga Seksyen 6 Kota Damansara. Hampir seluruh warga dari rumah kos rendah hinggalah kepada rumah banglo telah bersama-sama menyertai persatuan, berganding bahu menjayakan kativiti persatuan kearah memakmurkan seluruh Seksyen 6.
Taburan keahlian persatuan penduduk mengikut sektor sehingga 31hb Disember 2003 adalah seperti di Jadual 3.





PENCAPAIAN PERSATUAN

Persatuan Penduduk Seksyen 6 Kota Damansara yang baru setahun jagung telah mengorak langkah menjadi sebutan masyarakat setempat. Tidak hanya dengan aktiviti-aktiviti yang dijayakan menjadi penghubung sesama penduduk; persatuan juga telah menerima beberapa pengiktirafan yang berjaya mengharumkan namanya dikacamata seluruh warga Seksyen 6, khasnya di kawasan Petaling Jaya dan Negeri Selangor amnya.

Antara pengiktirafan yang berjaya diterima oleh Persatauan Penduduk Seksyen 6 Kota Damansara dan Jawatankuasanya ialah :-



MASALAH SEMASA SEKSYEN 6

Terdapat beberapa masalah semasa di SEKSYEN 6 yang sering menjejaskan keselesaan warga SEKSYEN 6 yang perlu diambil tindakan segera dan berterusan. Antaranya ialah:-

a. Permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata terutamanya di Jalan Cecawi 6

b. Sistem kutipan sampah bahan buangan besar yang tidak teratur terutamanya di Gugusan Cempaka, Tanjung & Seroja .

c. Perkhidmatan telefon yang masih tidak lengkap sepenuhnya terutamanya di sebahagian GugasanTeratai, & Palma Perak.

d. Masalah rumput/semak yang panjang yang tidak dipotong dan mengalakkan pembiakan ular, anjing liar dan nyamuk, antaranya di sepanjang :-
- Persiaran Mahogani
- Jalan Cecawi 6
- Jalan Cecawi 6/18 (di belakang Mc Donald)
- Rezab Jabatan Bekalan Air di Jalan Cecawi 6/26A & Jalan Cecawi 6.

e. Masalah anjing liar yang mengancam keselamatan kanak-kanak

f. Lampu Jalan yang sentiasa rosak

g. Ketiadaan lampu taman di sebahagian taman memungkinkan pertambahan kegiatan jenayah dan kurang bermoral.

h. Gerai-gerai yang tidak berlesen yang berselerak di seluruh kawasan

i. Penjualan arak & minuman keras secara terbuka di pasaraya dan kedai-kedai.

j. Kafe siber dan pusat snuker yang terbuka tanpa kawalan.

k. Pemaju menjalankan pembangunan bersebelahan tanpa mengikut prosedur keselamatan
- Pagar pemisah antara kawasan pembinaan dan kediaman tidak mencukupi
- Lumpur dari pembinaan mengotorkan jalan.
- Lori pembancuh simen dipandu secara laju dan berbahaya
- Buruh binaan asing berkeliaran tanpa kawalan
- Tiada notis amaran.

l. Pembuangan sampah ubahsuai rumah dibiarkan bertaburan tanpa penguatkuasaan, antaranya di Jalan Cecawi 6/9, Jalan Cecawi 6.

m. Penyelenggaraan kebersihan longkang yang kurang sempurna di kawasan rumah kedai dan sepanjang Jalan Cecawi 6/19.







PENUTUP


SEKSYEN 6 Kota Damansara adalah kawasan yang berpotensi untuk menjadi contoh kawasan kemasyarakat majmuk yang ideal. Dengan sikap toleransi, saling tolong menolong dan hormat menghormati yang telah ditunjukkan semasa aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan sejak tahun 1998 memungkinkan SEKSYEN 6 menjadi kawasan pembangunan baru yang kukuh nilai kemasyarakatannya.


Keprihatinan pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat dan mewujudkan kemudahan prasarana dan rekreasi yang lengkap adalah amat penting bagi menjayakan hasrat ini.


Dengan kepimpinan masyarakat yang aktif disamping bantuan dari pihak berkuasa dan pemaju yang bertanggungjawab, tidak mustahil SEKSYEN 6 Kota Damansara menjadi kawasan perumahan contoh di daerah Petaling khususnya dan Negeri Selangor amnya suatu hari nanti.



“JIRAN KITA KELUARGA KITA”


Disediakan oleh

Ir. Alpadzul bin Abu Hassan
Setiausaha
Persatuan Penduduk Seksyen 6
Kota Damansara